Christophe Galtier percaya kepulangan Kylian Mbappe ke pusat latihan Paris Saint-Germain (PSG) hanya tiga hari selepas kekecewaan dalam final Piala Dunia di Qatar adalah satu isyarat untuk bangkit mantap.

Mbappe menjaringkan hatrik dalam perlawanan akhir di Stadium Lusail, Isnin lalu apabila dua kali menyempurnakan sepakan penalti selain jaringan voli menarik untuk mengikat permainan 3-3 sebelum babak 12 ela itu.

Rakan sepasukan Mbappe, Lionel Messi, yang mengetuai Argentina akhirnya menjulang trofi itu menerusi kemenangan 4-2 dalam penentuan sepakan penalti.

Tatkala Messi kembali ke Argentina untuk meraikannya, Mbappe pula mula menjalani latihan PSG malam tadi untuk cuba mengatasi kekecewaan di Qatar.

Penyerang itu akan kembali mengalihkan perhatiannya untuk baki musim ini yang menyaksikan PSG mendahului lima mata di puncak Ligue 1 dan berdepan pertemuan getir Liga Juara-Juara (UCL) dengan Bayern Munich dalam pusingan 16.

Galtier berasakan keputusan Mbappe untuk kembali bersama PSG dalam masa singkat dan bukannya mengambil cuti tambahan membuktikan karakter hebatnya.

"Saya sangat gembira melihatnya," kata pengurus kepada PSG TV.



"Kylian mengharungi Piala Dunia yang hebat. Kepulangan ini juga merupakan isyarat kuat kepada semua orang.

“Dia mungkin sedang kecewa kerana terlepas trofi berprestij walaupun dia muncul penjaring terbanyak dalam Piala Dunia ini (lapan gol).

"Dia mahu kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan dengan segera.

"Kami sangat, sangat gembira dapat melihatnya."

Achraf Hakimi, yang menikmati kempen Piala Dunia yang cemerlang ketika Maghribi melangkaui pencapaian wakil Afrika dalam sejarah pertandingan itu, turut kembali berlatih bersama juara bertahan Ligue 1 berkenaan.

PSG bakal kembali beraksi kompetitif bertemu Strasbourg pada Khamis depan.