Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menegaskan bahawa bukan semua permintaan atlet akan dipertimbangkan dalam Program Road to Gold (RTG) sebagai persiapan menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Ini susulan permintaan yang dikemukakan pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia, kepada Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) dalam membantunya memantapkan prestasi demi misi meraih emas sulung negara dalam temasya berkenaan.

Difahamkan, pemain berusia 25 tahun berkenaan turut berharap Jawatankuasa RTG dapat membantunya dalam membiayai kejohanan dan mengadakan kem latihan di luar negara seanjang tempoh kelayakan ke Sukan Olimpik.

Menurut Hannah, pemintaan yang diajukan perlu relevan sebelum ia dipertimbangkan oleh Jawatankuasa RTG untuk diluluskan dan ia akan menjadi layanan sama rata buat mana-mana atlet di bawah program itu.

"Berdasarkan syarat kelayakan awal (pemenang pingat Sukan Olimpik dan atlet dalam kelompok 10 terbaik dunia), kami memiliki senarai atlet dalam Program RTG," katanya seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Syen Yeoh.

"Tetapi mungkin ada ketika kedudukan ranking itu akan berubah dan dua minggu kemudian, mungkin dia akan kembali ke dalam kelompok 10 teratas dunia.

"Tidak mungkin setiap minggu kami akan menyingkirkan atlet.

"Kerana itulah kami memiliki penasihat teknikal seperti Datuk Dr. Ramlan (Aziz) dan Datuk Lee Chong Wei bagi sukan badminton.

"Berdasarkan keputusan Jawatankuasa RTG, kami akan membantu atlet berkenaan.

"Yang paling penting adalah untuk kita mendapatkan pingat emas. Ia bermaksud, atlet yang wajar disokong akan diberikan sokongan.

"Pusingan kelayakannya akan tamat pada tahun depan. Keputusan Zii Jia minggu ini tiada kaitan.

"Dia boleh berada dalam ranking 10 terbaik dunia, bahkan mungkin nombor satu dunia sehingga tahun depan dan tiba-tiba dia boleh jatuh.

"Tahun depan barulah kita akan tahu siapa yang akan layak ke Sukan Olimpik," katanya.

Mengulas mengenai bantuan Geran Padanan Sukan itu, Hannah menambah: "Setiap permohonan akan ditapis dan jawatankuasa kami akan membuat keputusan setiap dua minggu.

"Selepas ditapis, mereka akan semak dan kami mahu melakukannya dengan segera.

"Apabila kami memberikan kelulusan, kami akan memaklumkan kepada mereka tetapi sebelum pembayaran dibuat, kami perlu melakukan audit terlebih dahulu untuk memastikan ia sahih."