Bekalan satu gol mengiringi Kuala Lumpur City bagi perlawanan timbal balik suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan disifatkan sebagai yang terbaik diperoleh The City Boys ketika berdepan Sri Pahang.

Malah, ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Nenad Bacina, tanpa berselindung mengakui berdepan angkatan Fandi Ahmad itu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bukan perlawanan mudah kerana aksi suku akhir pertama lebih kepada permainan taktikal kedua-dua pasukan.

"Kami juga tahu bahawa Pahang yang dibarisi pemain berkualiti bukan lawan yang mudah dijinakkan dalam perlawanan ini.

"(Kpah) Sherman, (Nor Azam) Azih dan Sergio (Fabian Ezequiel Aguero) sering mendatangkan masalah kepada barisan pertahanan Kuala Lumpur tetapi kami berjaya mengekang mereka sebaiknya.

"Pada masa sama, kami juga mencipta beberapa peluang, terutama daripada set pieces tetapi gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

"Biarpun begitu, secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan keputusan dalam perlawanan ini," katanya selepas perlawanan itu.

Sepakan penalti Romel Morales dijelmakan dalam bentuk jaringan selepas bintang The City Boys, Paulo Josue, dikasari pertahanan Tok Gajah, Syazwan Andik, pada minit ke-72 untuk memisahkan kedua-kedua pasukan selepas 90 minit permainan.

Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Croatia itu mengakui Kuala Lumpur City perlu memperbaiki pelbagai aspek menjelang kunjungan ke Kuantan bagi perlawanan timbal balik kedua pada 24 September ini.

"Saya tahu penyokong tentu mengharapkan kemenangan 4-0 atau 5-0, namun satu gol merupakan petanda positif sebagai motivasi untuk perlawanan timbal balik kedua.

"Saya tidak boleh mengharapkan lebih daripada yang telah diberikan pemain saya dalam perlawanan ini tambahan pula selepas beberapa percubaan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

"Satu gol sebenarnya menghidupkan peluang Kuala Lumpur City untuk berada dalam mood terbaik bagi perlawanan timbal balik kedua di Kuantan," katanya.

-- Sinar Harian