Harry Kane menegaskan prestasi buruk England menentang Amerika Syarikat 'bukan penghujung dunia bagi kami' dan mengekalkan pasukan itu dalam kedudukan yang kukuh di Piala Dunia Qatar 2022.

Kapten The Three Lions, Kane, terlepas peluang di penghujung permainan ketika perlawanan di Stadium Al Bayt berakhir tanpa jaringan.

AS adalah pasukan yang lebih baik untuk sebahagian besar permainan, tetapi mereka melepaskan separuh peluang dan England berjaya terselamat daripada dibolosi sebelum memperkemaskan semula rentak permainan.



"Ia bukan persembahan terbaik kami, pastinya," kata Kane kepada ITV. “Kami mempunyai beberapa gerakan baik dan mencipta peluang, tetapi kami tidak berjaya melunaskan jaringan.


"Satu mata yang amat penting, ia meletakkan kami di kedudukan yang baik dalam peringkat kumpulan."

Selepas meraih kemenangan 6-2 ke atas Iran dalam aksi pembukaan, England diletakkan sasaran untuk mempamerkan persembahan yang sama, namun gagal melakukannya.

"Ia ternyata persembahan yang berbeza berbanding perlawanan bertemu Iran, di mana kami menggunakan peluang dengan sebaik mungkin,," kata Kane.

"Lawan telah bermain dengan baik. Mereka memberikan tekanan dan menyukarkan kami. Mereka telah menghadirkan skuad yang baik dan kami menghormati kemampuan lawan."

"Seri bukan penamat buat kami. Kami tahu mampu bermain dengan lebih baik. Tiada perlawanan mudah dalam Piala Dunia."

Untuk rekod, England masih belum pernah menewaskan Amerika Syarikat di Piala Dunia dalam tiga percubaan, tewas 1-0 pada 1950 dan seri 1-1 pada 2010 sebelum keputusan seri awal pagi tadi.