PERANCIS 2 MAGHRIBI 0

Berdepan Lionel Messi dalam perlawanan akhir Piala Dunia merupakan cabaran yang sama sekali berbeza", menurut pemain Perancis, Antoine Griezmann.


Perancis menamatkan perjuangan Maghribi dengan kemenangan 2-0, awal pagi tadi, apabila jaringan Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani membawa Les Bleus mara ke final Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.

Selepas menjulang trofi di Rusia pada 2018, pasukan Didier Deschamps itu berpeluang menjadi pasukan pertama untuk mengekalkan trofi bola sepak paling berprestij berkenaan sejak Brazil melakukannya pada 1962.

Tetapi halangan terakhir mereka adalah Argentina yang diketuai Messi yang mengatasi Croatia semalam untuk mara ke final buat kali keenam.

Dengan perlawanan akhir menentang Perancis berkemungkinan mewakili peluang terakhir Messi untuk menjulang trofi Piala Dunia, Griezmann mengakui ia akan menjadi tugas yang sukar untuk menyekat La Albiceleste.

"Mana-mana pasukan yang mempunyai Messi adalah cabaran yang sama sekali berbeza," kata Griezmann kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas perlawanan.






“Berdasarkan keemua perlawanan membabitkan Argentina, kami tahu corak permainan mereka dan ia sukar untuk dihadapi.

“Mereka dalam prestasi terbaik, bukan sahaja Messi malah mereka memiliki pasukan yang mantap.

“Kami sedar ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan mereka akan mendapat sokongan padu.

"Kami akan kembali menjalani persiapan esok dan lihat bagaimana kami mampu melukai mereka, kami akan bersedia dengan baik."