Kylian Mbappe digambarkan "seperti kereta api wap" selain menunjukkan kualiti kepimpinannya yang tenang menerusi dua gol yang dilakarnya untuk membawa Perancis ke pusingan kalah mati Piala Dunia di Qatar.

Les Bleus memperoleh kemenangan 2-1 ke atas Denmark hasil penyudah penyerang itu bagi memastikan mereka menembusi Kumpulan D selepas kemenangan pembukaan menentang Australia.

Selepas menjadi bintang empat tahun lalu dalam kejuaraan kempen Russia 2018, Mbappe tiba di Qatar 2022 dengan menggalas beban yang lebih berat berikutan kecederaan yang menimpa Karim Benzema.

Tetapi ketua jurulatih Les Blues, Didier Deschamps, berasakan situasi itu tidak menggugat anak buahnya tersebut yang terus menyerlah di peringkat kebangsaan tanpa mengira siapa gandingannya di jentera serangannya.

"Dia seorang pemimpin," katanya.

"Saya tidak fikir kepimpinan mempunyai satu watak sahaja. Kylian jarang bercakap. Namun, dia seperti kereta api wap di atas padang. Dialah yang mendorong pemain-pemain lain.





"Kylian sentiasa memikul tanggungjawab yang sama. Dia sedar Perancis memerlukannya dan kami memerlukannya untuk berada di tahap terbaiknya. Buktinya adalah jaringannya dalam dua perlawanan pertama."

Ekoran ketiadaan Benzema, Mbappe hanyalah salah seorang daripada lima pemain yang sudah mencapai 50 penampilan di peringkat antarabangsa bagi mengiringi Hugo Lloris, Olivier Giroud, Antoine Griezmann dan Raphael Varane.

Ini bermakna mereka sarat dengan barisan pemain muda yang kurang berpengalaman bersama Les Bleus, tetapi Deschamps tidak berasakan itu sebagai penghalang utama sambil merujuk kepada reputasi mereka yang cemerlang bersama kelab.

"Saya mempunyai kumpulan pemain yang hebat," tambahnya.

"Saya sangat bertuah kerana dapat bersama kumpulan pemain ini semula.

"Kebanyakan daripada mereka belum mempunyai 50 penampilan tetapi mereka sedang mewakili kelab terbaik Eropah, saya mempunyai skuad berkualiti tinggi yang memiliki pemikiran yang sangat baik."