Cristiano Ronaldo berkata fokus utamanya tetap tertumpu kepada Portugal menjelang kempen Piala Dunia Qatar di sebalik kontroversi wawancara di Manchester United.

Pemenang lima Ballon d'Or itu mengkritik pengurus kelabnya, Erik ten Hag, Ralf Rangnick dan tokoh senior di Old Trafford dalam temu bual bersama Piers Morgan untuk rancangan TalkTV yang akan disiarkan sepenuhnya esok.

Ronaldo berasa dikhianati oleh United sambil menganggap tiada kemajuan yang dicapai oleh kelab itu sejak persaraan Alex Ferguson pada 2013.

The Red Devils kemudian mengeluarkan satu kenyataan bahawa temu bual itu akan diteliti dan berikrar untuk memberikan jawapan sebaik segala fakta diketahui.

Pemain berusia 37 tahun itu menegaskan dia akan memberi tumpuan tinggi untuk Portugal di Qatar menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan H menentang Ghana pada 24 November ini.

"Tumpuan penuh dan mutlak untuk tugasan pasukan kebangsaan. Kumpulan pemain ini bersatu ke arah satu objektif: merealisasikan impian semua rakyat Portugis!," tulisnya di Instagram.

A post shared by Cristiano Ronaldo (@cristiano)



Dia menyiarkan gambar dirinya bersama rakan sepasukan Portugal dalam sesi latihan walaupun terlepas dua perlawanan terakhir bersama United gara-gara masalah kesihatan.

The Red Devils menewaskan Fulham 2-1 tanpa kelibat bekas bintang Real Madrid itu dan mereka kini menduduki tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL), tiga mata di belakang Tottenham dengan kelebihan satu perlawanan.

Kapten Portugal itu berharap dapat membantu negaranya menjulang Piala Dunia di Timur Tengah di mana pasukan kendalian Fernando Santos tersebut juga akan berdepan Uruguay dan Korea Selatan dalam Kumpulan C.