Diogo Jota perlu melupakan impian ke Piala Dunia selepas mengalami kecederaan otot betis yang agak serius dalam kemenangan Liverpool ke atas Manchester City.

Penyerang Portugal itu tampak begitu kecewa ketika diusung keluar pada masa kecederaan dalam kemenangan 1-0 di Anfield, Ahad lalu.

Justeru, Portugal dan Liverpool menerima perkhabaran buruk apabila pemain lincah itu sah perlu berehat agak panjang.

"Ia benar-benar bukan berita baik. Ya, dia akan terlepas Piala Dunia," kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, dalam sidang akhbar malam tadi.

"Ia adalah kecederaan yang agak serius, otot betis. Sekarang kami lihat perlu pastikannya pulih. Prosesnya bermula seperti ini. Diagnosis pertama yang dijalaninya cukup jelas membuktikannya.

"Ia berita yang sangat menyedihkan buat pemain, kami dan juga Portugal."

Meskipun Jota tidak akan memerlukan pembedahan tetapi bagi Klopp, mereka perlu bersedia kehilangan kelibatnya selama beberapa bulan.

"Saya tidak mahu meletakkan sebarang tempoh ke atasnya. Ya, dia akan berehat panjang," katanya.



"Ia adalah Diogo tetapi agak mengejutkan dia tampak OK setakat ini. Dia seorang pemain yang sangat bijak dan sangat reflektif. Saya rasa dia juga sudah dapat menghidunya apabila kami membawanya keluar dari padang.

"Apabila saya berjalan keluar, kami saling melepasi satu sama lain selepas perlawanan dan dia sudah pun menjangkakan apa yang berlaku. Saya rasa pada masa itu dia sudah pun sedar bahawa ia adalah sesuatu yang serius dan boleh memberi impak yang besar kepada impiannya ke Piala Dunia."

Kecederaan itu menyebabkan The Reds kehilangan seorang lagi tonggak di bahagian selepas Luis Diaz turut perlu dirawat selepas Piala Dunia.