Harry Kane berasa cergas sepenuhnya untuk mengetuai England berdepan Senegal dalam Piala Dunia, awal pagi esok.

Ketua pasukan England itu masih belum menemui penyudah di Qatar dan bergelut untuk mencapai prestasi terbaik berikutan kecederaan buku lali yang dialaminya dalam kemenangan perlawanan pembukaan 6-2 ke atas Iran.

Dia mengakui ingin membuka akaun jaringannya tetapi tidak terlalu khuatir tentang soal itu sambil berkata ia adalah sebahagian daripada perancangan sebelum mereka mencapai kemuncak prestasi.

Penyerang Tottenham itu berkata: "Dalam Piala Dunia pada 2018, daripada segi fizikal, kami memulakan kejohanan dengan baik, saya dapat menjaringkan banyak gol tetapi apabila seiring kemaraan, prestasi saya makin merosot.

"Dalam Euro pula, saya cuba melakukannya secara sebaliknya bagi memastikan saya berada di kedudukan terbaik untuk kalah mati. Sebelum ke peringkat ini, saya ingin menjaringkan dua atau tiga gol tetapi sepanjang di peringkat kumpulan, ia tidak terlalu sukar dan tidak terlalu fizikal menuju ke peringkat kalah mati.


"Saya berasa dalam keadaan yang sangat baik, saya rasa cergas seperti yang pernah saya rasakan. Hanya masa yang akan menentukannya tetapi saya harap saya mampu beraksi dengan baik esok dengan menjelmakan prestasi terbaik saya dalam fasa kalah mati."

Mengenai kecederaan pergelangan kakinya, dia menambah: "Rasanya baik-baik saja. Saya mengalami kecederaan ringan dalam perlawanan pertama tetapi ia makin pulih dari hari ke hari dan ketika ini saya hampir tidak berasa sakit langsung. Daripada segi tahap persembahan, saya rasa seperti pernah mengalaminya.

"Apabila beraksi baik, saya akan dinilai menerusi gol tetapi saya tetap tenang dan sentiasa cuba memberi fokus kepada pasukan, memberikan yang terbaik dan saya boleh melakukannya dalam pelbagai cara.

"Saya akan terus melakukannya dan jika gol itu terhasil maka baguslah.

"Sebagai penyerang saya sentiasa mahu menjaringkan gol, ia akan menjadi perlawanan yang sukar untuk berdepan Senegal tetapi saya harap saya dapat merakamkan jaringan."