ENGLAND 0 AS 0

Gareth Southgate percaya England telah mempamerkan sisi berbeza ketika menentang Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan satu mata berharga dalam Piala Dunia di Qatar, sebentar tadi.


The Three Lions terlepas peluang untuk muncul sebagai pasukan pertama yang menempah tempat ke peringkat kalah mati selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam pertembungan Kumpulan B itu tatkala England dibayangi gerakan kurang kreatif.

AS sebaliknya memiliki peluang yang lebih baik apabila percubaan Christian Pulisic singgah di palang sementara England menggunakan pendekatan yang lebih konservatif berbanding ketika menentang Iran.

Southgate menegaskan sebarang pasukan yang mahu berjaya perlu memperagakan kelainan dalam kejohanan sambil memberikan penilaian positif terhadap prestasi anak buahnya.

"Saya sangat gembira dengan pendekatan pemain, ia adalah lawan yang sangat sukar, mereka bermain dengan sangat baik," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Untuk bangkit daripada prestasi tinggi pada hari sebelumnya dan untuk mengekalkan tenaga dan kualiti di tahap yang sama, ia akan sentiasa menjadi satu cabaran.



“Enam pemain hadapan mereka menyukarkan kami untuk bergerak apabila berkumpul di bahagian pertahanan sendiri, saya fikir kami mampu mengawal permainan dengan sangat baik, dua pertahanan tengah kami benar-benar cemerlang mengawal bola.

“Untuk bermain dengan ketenangan di bawah tekanan seperti ini dan diasak oleh AS dari sudut sukar bukannya mudah dan hanya apabila anda mempunyai dua tonggak seperti kami miliki, maka anda akan mula menghargai tekanan yang mampu mereka serap.

“Kami kurang kemas mengawal gerakan di kubu lawan, kami tidak mencipta peluang yang secukupnya di pertiga terakhir tetapi kami memiliki peluang untuk menampilkan corak berbeza daripada segi daya tahan, segera mematahkan gerakan lawan dan menutup kotak penalti kami dengan baik.






"Untuk menjadi pasukan yang berjaya dalam sesebuah kejohanan, anda perlu menunjukkan watak yang berbeza dan saya fikir kami melakukannya malam ini. Saya pasti akan ada banyak persoalan tentang prestasi pemain tetapi tidak banyak pasukan yang mengharungi Piala Dunia mampu meraih sembilan mata di peringkat kumpulan.

"Kami berada di kedudukan yang baik, kami masih ada tugas lagi dilaksanakan demi kemaraan dan dalam masa sama, kami juga memiliki peluang untuk menjuarai kumpulan.

“Pemain sangat terkilan dan kecewa tetapi saya berpesan kepada mereka bahawa ia tidak akan berulang lagi untuk beberapa hari akan datang kerana saya fikir mereka telah menunjukkan sisi berbeza tentang karakter mereka dan ia akan menjadi elemen penting untuk bergerak ke hadapan."