Cristiano Ronaldo menyatakan masa depan di peringkat kelabnya "tidak penting" ketika merakam saat indah yang menyaksikannya mencipta rekod Piala Dunia.

Pemain berusia 37 tahun itu melunaskan sepakan penalti dalam separuh masa kedua dalam kemenangan dramatik 3-2 Portugal ke atas Ghana untuk muncul sebagai pemain pertama yang meledak gol dalam lima edisi Piala Dunia.

Jaringan Ronaldo itu muncul selepas seminggu dia mendominasi berita utama menerusi temu bual dengan Piers Morgan yang menggegar seluruh dunia bola sepak berhubung kritikan hebatnya terhadap Manchester United dan kelmarin kontraknya ditamatkan.

Ronaldo kini dalam pasaran tatkala dia membintangi Piala Dunia tetapi di sebalik persoalan mengenai masa depannya, dia tetap fokus untuk mewakili negaranya.

"Ia adalah saat yang indah, ia Piala Dunia kelima saya. Kami menang, kami bermula dengan langkah yang bagus, ia adalah satu kemenangan yang sangat penting," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.



"Kami sedar bahawa dalam pertandingan ini, perlawanan pertama adalah penting termasuk rekod untuk saya menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam lima Piala Dunia, ia sesuatu yang membanggakan saya dan saya sangat gembira kerana pasukan ini meraih satu keputusan yang memberangsangkan dalam perlawanan sukar.

“Apa yang paling penting ialah kemenangan kami, seminggu ini kami mengakhiri satu bab, ia sudah ditutup dan kini kami mahu bermula dengan langkah yang baik.

"Kami menang, saya dapat membantu pasukan dan hal selebihnya tidak penting."