Rancangan Australia untuk mengekang Lionel Messi tidak berhasil tetapi Garang Kuol percaya Socceroos telah mempamerkan kemampuan mereka untuk bersaing dengan kalangan terbaik dalam kempen Piala Dunia edisi ini.

Selepas tewas dalam perlawanan pembukaan kepada Perancis, Australia bangkit dengan kemenangan 1-0 ke atas Tunisia dan Denmark untuk mara ke pusingan 16 bertemu Argentina.

Pasukan kendalian Graham Arnold itu sempat menyusun gerakan menarik tetapi terpaksa akur tumbang 1-2 selepas Messi mencetuskan inspirasi kemenangan buat La Albiceleste.

Jurulatih Socceroos, Arnold, merumuskan kelibat Messi yang menjaringkan gol pembukaan dengan berkata: "Lihat, dia luar biasa, antara yang terhebat pernah disaksikan.

“Kami bekerja keras untuk tidak menunjukkan kekaguman memandang dia adalah pemain yang hebat, tetapi dia sungguh luar biasa.

“Saya sempat menentang Diego Maradona dan kini pasukan kendalian saya pula sudah beberapa kali berdepan Lionel Messi.

"Mereka berdua merupakan pemain hebat dan Argentina sepatutnya berbangga serta gembira kerana telah melahirkan pemain berkaliber seperti ini."

Pemain sayap remaja, Kuol -- yang pada usia 18 tahun muncul pemain termuda yang diturunkan dalam perlawanan kalah mati Piala Dunia sejak Pele -- berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada lewat permainan tetapi penjaga gol, Emiliano Martinez, nyata lebih tangkas.



"Saya berpesan kepada diri sendiri bahawa saya akan turun dan menjaringkan gol, jadi Arnie memberitahu saya akan dimasukkan dan melakukan perkara yang sama," kata Kuol.

“Kami mempunyai harapan yang sama.




“Apabila gagal meledak gol, saya sangat kecewa tetapi kami perlu meneruskan perjuangan.

"Saya tidak begitu jelas dapat melihat penjaga gol. Saya hanya berputar dan cuba melepaskan rembatan.

"Hanya apabila saya melihat ulang tayangnya, saya melihat penjaga gol bertindak bergegas keluar. Jadi ini satu pembelajaran."