ARGENTINA 5 UAE 0


Lionel Scaloni sedang mempertimbangkan untuk merombak skuad Argentina menjelang kempen Piala Dunia sekiranya pemain gagal membuktikan kecergasan mereka.


Ketua jurulatih Albiceleste itu menamakan 26 pemainnya untuk menyertai Qatar 2022 menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan C menentang Arab Saudi, Selasa depan.

Paulo Dybala tersenarai sebaik kembali daripada kecederaan di Roma, tetapi dia tidak memainkan peranan dalam kemenangan 5-0 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebentar tadi.

Mana-mana pasukan boleh membuat pertukaran pemain sekiranya didapati cedera dan tempat mereka boleh digantikan daripada senarai 55 pemain yang didaftarkan sebelum ini.

Lantas, Scaloni tidak teragak-agak untuk membuat sebarang perubahan drastik sehari sebelum perlawanan pembukaan mereka.

"Kami berdepan sedikit masalah dan masih mempunyai beberapa hari lagi untuk memutuskan senarai akhir pemain," katanya kepada TyC Sports.



“Kami mungkin membuat perubahan, harapnya tidak tetapi ada kemungkinan.

“Terdapat beberapa pemain pada hari ini yang perlu diketepikan kerana mereka sama ada tidak cergas untuk bermain atau berdepan risiko kecederaan.

"Saya tidak mampu beri jaminan bahawa pemain ini akan kekal cergas. Secara dasarnya, mereka baik-baik saja tetapi anda perlu berhati-hati. Itulah sebabnya kami berwaspada dengan minit permainan."

Argentina tidak menghadapi masalah untuk melanjutkan rekod tanpa kalah mereka kepada 36 perlawanan dengan memperagakan persembahan bertaraf lima bintang ketika membelasah UAE yang menyaksikan Angel Di Maria dan Lionel Messi menghadirkan sumbangan besar.

Di Maria menyumbat dua gol dan mencipta satu bantuan jaringan buat Messi yang sebelum itu umpanannya kepada Julian Alvarez menghasilkan gol pembukaan sementara pemain gantian, Joaquin Correa, menambah gol kelima dalam babak kedua.

“Hari ini kami bermain dengan mentaliti Piala Dunia,” kata pemain tengah, Rodrigo de Paul.

“Saya rasa ini ujian yang bagus dan kami bermain dengan baik malah mengekalkan rekod bersih.

"Jika kami mahu perlawanan pembukaan (Piala Dunia) berjalan lancar, kami perlu turun dengan mentaliti yang sama. Kami tampil dengan baik dan sentiasa mahu meningkatkan persembahan."

Juara Amerika Selatan itu akan menyusuli perlawanan pembukaan menentang Arab Saudi sebelum mengatur pertemuan dengan Mexico dan Poland.