ARGENTINA 3 PERANCIS 3
(Argentina juara menerusi penentuan sepakan penalti 4-2)


Argentina yang diketuai Lionel Messi akhirnya merealisasikan impian untuk bergelar juara dunia buat kali ketiga sejak menjulangnya 36 tahun lalu apabila mengatasi Perancis 4-2 melalui penentuan sepakan penalti dalam salah satu perlawanan akhir paling dramatik dalam Piala Dunia.

Argentina seakan-akan diberi bayangan mudah apabila mendahului 2-0 selepas mendominasi separuh masa pertama.

Sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil dari Poland, Szymon Marciniak -- yang memperagakan ketegasan dan keadilan sepanjang perlawanan -- itu pantas dilunaskan Messi dengan kaki kirinya pada minit ke-23 sebelum satu serangan balas disudahkan pula oleh seorang lagi pemain Argentina berkaki kidal, Angel di Maria, untuk kedudukan menjadi 2-1 pada minit ke-36 selepas beberapa kali kelicikannya mengundang gelisah pertama juara bertahan berkenaan.

Senario itu memaksa Perancis tanpa berlengah cuba mengubah senario perlawanan di Stadium Lusail tersebut dengan memasukkan dua pertukaran yang membabitkan dua pemain iaitu Oliver Giroud dan Ousmane Dembele sebelum rehat.



Namun, segala perancangan Argentina lancar sehinggalah detik Randal Kolo Muani memenangi sepakan penalti untuk Kylian Mbappe menjana kebangkitan Les Bleus pada minit ke-80.

Anak buah Didier Deschamps itu mula merencana gerakan dan tidak memberi ruang untuk Argentina kembali menyusun permainan.

Kurang dua minit selepas itu, penggempur utama tersebut sekali lagi menjadi detik penentu kepada nasib Perancis apabila mengikat kedudukan menerusi voli akrobatiknya 2-2 -- mirip episod Argentina bertemu Belanda dalam suku akhir.


Namun, Messi kembali menceriakan kegelisahan di kem wakil Amerika Selatan itu dalam tambahan masa apabila satu tolakan bola muntah menewaskan penjaga gawang lawan, Hugo Lloris, yang sudah merebahkan badannya di belakang gol dalam usaha menangkis percubaan awal Lautaro Martinez untuk kedudukan 3-3 pada minit ke-108.

Begitupun, 10 minit selepas itu Mbappe terus gigih menjadi duri di dalam rakan daging buat rakannya di peringkat kelab, Messi, untuk menyempurnakan karier dengan menjulang trofi idamannya selepas pengadil mengesan Gonzalo Montiel tertampan bola dengan tangannya ketika cuba menghalang rembatan penyerang Perancis itu untuk hatriknya bagi mengikat kedudukan buat kali kedua dari jarak 12 ela.

Detik akhir wisel penamat juga turut mengundang debaran selepas penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez, terpaksa menyelamatkan situasi satu lawan satu sebelum Lloris berdepan situasi serupa.

Tetapi penentuan sepakan penalti membuktikan bahawa Argentina selaku juara Copa America tahun lalu tampil berkeyakinan di sebalik tugasan pertama yang diambil Mbappe.

Martinez kembali diangkat wira dalam detik getir ini apabila cemerlang mengagak percubaan Kingsley Coman dan Aurelien Tchouameni sebelum Leandro Parades memuktamadkan kemenangan mereka untuk trofi itu kembali ke benua Amerika Selatan selepas Brazil pada 2002.