Julian Draxler menamatkan ikatan hampir tujuh tahunnya bersama Paris Saint-Germain (PSG) apabila menandatangani kesepakatan baru bersama kelab Qatar, Al-Ahli, sehingga musim panas 2025.

Pemain tengah Jerman itu berpindah ke Perancis daripada kelab Bundesliga, Wolfsburg, pada Januari 2017 dan dia kemudian mengumpulkan 198 penampilan, 26 gol dan 41 bantuan jaringan sepanjang di Paris.

Draxler, yang mewakili Jerman sebanyak 58 kali, menjulang 12 trofi bersama PSG, termasuk empat gelaran Ligue 1, tetapi keberadaannya di kelab itu kian dilupakan dan dia menghabiskan seluruh musim lalu dengan dipinjamkan kepada kelab Portugis, Benfica.

"Kelab Sukan Al-Ahly secara rasmi mengumumkan bahawa kami telah mengikat kontrak bersama bintang Jerman, Julian Draxler, untuk dua musim sehingga musim panas 2025," kata kelab itu dalam laman web rasmi mereka.