Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, mengakui masih terdapat beberapa kelemahan ketara yang perlu diperbaiki The Rhinos biarpun melakar kemenangan 3-1 ke atas Perak FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Likas semalam.

Kelekaan pemainnya ketika selesa mendahului The Bos Gaurus merupakan elemen yang menjentik Kim Swee biarpun The Rhinos melonjak ke kelompok empat terbaik dengan kemenangan ketujuh liga itu.

"Sejujurnya misi untuk mendapatkan tiga mata itu paling penting dalam perlawanan ini.

"Namun, secara keseluruhannya, Sabah tidak bermain sepertimana yang dipamerkan dalam separuh masa pertama.

"Pemain mula leka selepas selesa mendahului pasukan Perak dengan tiga gol menyaksikan Sabah dihukum, perkara ini perlu dielakkan dan banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki untuk perlawanan seterusnya," katanya selepas perlawanan di Likas itu.

Sabah kembali menemui rentak kemenangan apabila menewaskan Perak, 3-1 di Likas pada Selasa.

Anak buah Kim Swee tampil garang dengan misi memburu kemenangan selepas seri 2-2 dengan Terengganu FC sebelum ini.

Tonggak Harimau Malaya, Darren Lok, terlebih dulu meletakkan skuad The Rhinos itu di depan seawal minit keempat hasil rembatan susulan selepas situasi kucar-kacir di depan pintu gol The Bos Gaurus.

Gol itu nyata menambah semangat pasukan tuan rumah apabila giliran Park Tae-su melebarkan jaringan pada minit ke-31.

Kemudian, giliran Baddrol Bakhtiar menampilkan sentuhan pemusnahnya untuk Sabah mendahului 3-0 selepas separuh masa pertama.

Dalam separuh masa kedua, Perak bimbingan Datuk Lim Teong Kim lebih agresif berbanding separuh pertama untuk kembali menyaingi Sabah.

Hasilnya, The Bos Gaurus mengurangkan defisit menerusi jaringan Harith Naem pada minit ke-83.

Kemenangan ketujuh liga itu membolehkan Sabah naik ke tangga keempat dengan 24 mata manakala Perak kekal di tangga ke-11 dengan sembilan mata selepas masing-masing mengharungi 12 perlawanan.

Dalam pada itu, Teong Kim mengakui The Bos Gaurus beraksi kurang kemas dalam separuh masa pertama apabila memberi ruang kepada The Rhinos.

"Gol-gol yang dijaringkan pasukan Sabah pun disebabkan kami tidak jaga dengan baik.

"Namun, dalam separuh masa kedua, kami tukar cara pasukan bermain dengan meletakkan dua penyerang di depan selain mengawal pemain-pemain lawan dengan rapi.

"Dengan kehadiran dua penyerang, Perak berjaya memberi tekanan kepada Sabah dan berjaya menjaringkan satu gol," katanya.

Kredit: Sinar Harian