Kylian Mbappe terpaksa meninggalkan padang pada waktu rehat perlawanan Perancis menentang Denmark dalam aksi pertama Liga Negara-Negara Eropah awal pagi tadi.

Penyerang itu, yang baru mengikat kesepakatan baru dengan Paris Saint-Germain (PSG) bulan lalu selepas sekian lama dikaitkan dengan Real Madrid, mengalami kecederaan lutut pada penghujung separuh masa pertama yang berakhir tanpa sebarang jaringan.

Dia tercedera dengan sendiri dan tidak dapat kembali ke padang pada permulaan babak kedua, di mana Christopher Nkunku dimasukkan sebagai penggantinya.

Mbappe kelihatan terhincut-hincut menuju ke terowong pemain dan ia mungkin akan merisaukan ketua jurulatih, Didier Deschamps, yang pasukannya masih mempunyai baki tiga perlawanan dalam kejohanan berkenaan sepanjang 10 hari ini.

Bagaimanapun, pembantu Deschamps, Guy Stephan, mengesahkan kepada media Perancis, M6, bahawa pertukaran itu dilakukan adalah sebagai langkah pencegahan.

Mbappe kemudian dilihat menyaksikan baki perlawanan -- di mana Perancis kemudian tewas 1-2 kepada Denmark -- dari bangku pemain dengan lutut yang berbalut tebal.