CAMEROON 2 COMOROS 1

Comoros membuktikan kekentalan dan semangat juang tinggi yang dimiliki mereka biarpun tewas 1-2 kepada tuan rumah, Cameroon, dalam pusingan 16 Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) di Stadium Paul Biya awal pagi tadi.

Ini selepas mereka terpaksa beraksi tanpa penjaga gol dan kekurangan seorang pemain hampir keseluruhan perlawanan itu.

Selepas melepasi saingan peringkat kumpulan dengan mengejutkan Ghana, kegembiraan Comoros bertukar mimpi ngeri apabila kem mereka dilanda jangkitan COVID-19 sehingga tiada penjaga gol dapat diturunkan untuk berdepan Cameroon.

Penjaga gol dalam senarai simpanan, Ali Hamda, didapati telah negatif virus itu tetapi tidak mendapat kebenaran Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) untuk diturunkan, sekali gus memaksa pemain pertahan, Chaker Alhadhur, mengisi kekosongan itu.

Ujian yang dihadapi Les Coelacantes bertambah besar pada minit ketujuh apabila kehilangan ketua pasukan, Nadjim Abdou, yang dilayangkan kad merah oleh pengadil, Bamlak Tessema Weyesa, gara-gara terjahannya ke atas Moumi Ngamaleu.

Cameroon, bagaimanapun, bergelut untuk menguji Alhadhur sebelum memecahkan kebuntuan pada minit ke-29 apabila Karl Toko Ekambi melepaskan percubaan yang menuju ke penjuru kiri bawah gawang Comoros.

Penjaga gol Cameroon, Andre Onana, kemudian terpaksa menyelamatkan percubaan Ahmed Mogni dan Mohamed Yousssouf sebagai menunjukkan Comoros masih memberikan tentangan dalam perlawanan itu.

Aboubakar memperdayakan Alhadhur untuk akhirnya menggandakan kelebihan Cameroon pada minit ke-70 tetapi Comoros tidak mudah mengalah dan berhasil merapatkan jurang melalui percubaan dari jarak 35 ela Youssouf M'Changama, yang menuju ke penjuru kanan atas gawang lawan.

Namun, ia ternyata sudah terlambat buat Comoros, yang terpaksa menelan hakikat bahawa penampilan pertama mereka dalam AFCON berakhir dalam pusingan 16.

Cameroon pula akan berdepan Gambia bagi perebutan tempat ke separuh akhir.